CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, February 27, 2011

TUGASAN CTU151

TAJUK:
Sejarah Dan Kegiatan Masjid Al-Ehsaniah Rawang,Selangor.


DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU151



DISEDIAKAN OLEH:
Nur Amira Syafiqa Binti Mohamad Raus
No Matrik : 2010258634
Kumpulan: BMD2Ac



PROGRAM:
Diploma Pengajian Perniagaan
Fakulti Pengurusan Perniagaan
(BM111)







ISI KANDUNGAN: 

1. Tajuk
2. Abstrak
3. Pendahuluan
4. Pengertian masjid
5. Sejarah penubuhan
6. Peranan
7. Masalah dan penyelesaian
8. Penutup
9. Bibliografi


TAJUK:
Sejarah Dan Kegiatan Masjid Al-Ehsaniah Rawang,Selangor.



ABSTRAK:


Masjid merupakan sebuah institusi agama yang sangat penting bagi suluruh umat Islam.Sejak zaman permulaan Islam lagi (Rasulullah s.a.w),kemajuan dan gerakan Islam bermula dari masjid.Masjid merupakan pusat pentadbiran selain dijadikan tempat berkumpul,berbincang,merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah,malah perdagangan,perundangan dan penyebaran ilmu.Perkembangan ilmu oleh ilmuan Islam di seluruh dunia membuktikan Islam merupakan agama yang penuh persepakatan dan masjid dijadikan tempat ilmuan ini berkumpul dan juga bertukar-tukar pendapat serta tempat melahirkan ilmuan Islam yang lebih mantap.
Agama,komuniti,kebudayaan dan falsafah mempengaruhi seni bina masjid seluruh dunia.Kecantikan masjid bukan hanya dihargai melalui seni bina,tetapi juga ikhtisar terhadap semua benda keislaman.Kita seharusnya menjadikan masjid sebagai oase spiritual dan pencerahan intelektual dan wahana pemberdayaan sumber daya ummat yang profesional dan berakhlak karim.
Di dalam surah at Taubah QS 9:18 juga ada menjelaskan bahawa orang orang yang memakmurkan masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemusnahan serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat , serta tidak takut kepada sesiapapaun selain Allah adalah termasuk dalam golongan yang diharapkan mendapat petunjuk dan syafaat daripada Allah.






PENDAHULUAN:

Alhamdulillah, syukur kepada Allah dengan limpah kurnianya dapat saya menyiapkan tugasan CTU151 yang diamanahkan kepada saya dengan jayanya.Tugasan ini menyumbang kepada komitmen untuk mendalami ilmu yang lebih tentang peranan institusi agama(masjid).
Saya telah menggunakan masa yang diberikan untuk mengkaji sebuah masjid di kariah saya iaitu Masjid Al-Ehsaniah.
Zaman teknologi yang serba canggih ini,kita dapat lihat institusi-institusi agama terutamanya masjid turut mengikut selari dengan perkembangan teknologi,namun ada juga yang terbiar tanpa diimarahkan.Sebagai rakyat yang masih sedar bahawa negara kita sebagai sebuah negara Islam kita haruslah sentiasa bekerjasama membangunkan institusi- institusi agama yang ada di negara kita ini serta menambahkan lagi kuantitinya malah kita haruslah menambah baik juga institusi-institusi agama yang sedia ada.
Boleh dikatakan hampir di setiap negeri mempunyai masjid dan surau.Saya telah memilih Masjid Al-Ehsaniah untuk dikaji tentang serba sedikit sejarah penubuhannya dan kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan. Orang yang bijak akan mengambil peluang bersungguh-sungguh begitu juga dengan penduduk di kariah saya yang sentiasa mengambil peluang untuk mengimarahkan masjid agar tidak terbiar begitu sahaja.

Menurut riwayat At-Tabrani;
"Masjid itu rumah untuk orang yang bertakwa, Allah s.w.t menjamin kepada orang yang menjadikan masjid itu sebagai rumahnya (sebagai tempat kunjungan utama).Dengan roh yang damai, rahmat dari Allah s.w.t yang melimpah ruah dan melepasi titian siratulmustakim untuk menuju keredhaan Allah s.w.t di dalam syurga".
(Riwayat At-Tabrani)
Hadis tersebut menyeru kita sebagai khalifah di muka bumi ini haruslah bertindak memakmurkan masjid atau dalam erti kata lain mengimarahkannya agar mendapat keredhaan Allah s.w.t di akhirat kelak.Amiinn....



PENGERTIAN MASJID:
Masjid adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud tempat sujud. Masjid ialah tempat beribadat yang khusus, seperti solat dan iktikaf, bagi orang Islam. Bangunan ini juga merupakan pusat kebudayaan, muamalat, dan perkembangan dakwah Islamiah, serta pusat aktiviti umat Islam .Masjid tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap, tetapi bergantung kepada budaya masyarakat Islam setempat. Dari sudut bahasa,"masjid" bermaksud tempat bersujud. Masjid juga sering disebut sebagai Baitullah (rumah Allah), iaitu bangunan yang didirikan sebagai tempat untuk mengabdikan diri kepada Allah.Sewaktu peristiwa hijrah pada zaman Rasulullah dahulu,ketika baginda melewati satu daerah yang diberi nama Quba’ dengan ditemani sahabat baginda, Saidina Abu Bakar As-Siddiq baginda telah mendirikan sebuah masjid pertama sepanjang kenabiannya yang diberi nama Masjid Quba’.Peristiwa ini ada disebutkan di dalam surah At Taubah QS 9:108. Setelah tiba di Madinah pula Rasulullah s.a.w juga telah mendirikan satu lagi masjid iaitu Masjid Nabawi.

Dalam perjalanan sejarahnya, masjid telah mengalami perkembangan yang pesat, baik dalam bentuk bangunan mahupun fungsi serta peranannya. Di zaman serba moden ini boleh dikatakan hampir di setiap kawasan yang dihuni oleh masyarakat yang beragama Islam akan didirikan sebuah masjid. Secara zahirnya umat Islam memang tidak dapat dipisahkan dengan masjid kerana masjid membawa banyak peranan dalam pembangunan umat Islam.

Banyak masjid telah didirikan oleh umat Islam. Masjid didirikan untuk memenuhi tuntutan lahiriah umat Islam , khususnya untuk memenuhi keperluan spiritual yang dIgunakan bagi mendekatkan diri kepada Pencipta-Nya disamping dijadikan sebagai tempat untuk memperoleh ketenangan jiwa, pelabuhan pengembaraan hidup dan kekuatan kehidupan umat. Saidina Uthman bin ‘Affan r.a. juga pernah berkata:
“Rasul s.a.w. bersabda: Barangsiapa mendirikan masjid kerana Allah s.w.t dan bukan untuk bermegah- megahan, nescaya Allahs.w.t akan mendirikan untuknya satu syurga seperti yang telah mereka dirikan.” (Hadis Riwayat: Bukhari & Muslim).




SEJARAH PENUBUHAN:

Masjid Al-Ehsaniah telah dirancang dibina pada awal 2002, dan permohonan dibuat kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Daerah Gombak (JAIS) hasil dari usaha dan kerja kuat serta kerjasama penduduk setempat, akhirnya telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM4.3 juta, dari Kerajaan.
Pembinaan Masjid ini mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan, Alhamdulillah Masjid ini dapat digunakan sebelum bulan Ramadan tahun 2004, Keluasan tapak Masjid ini adalah 1.75 ekar.
Masjid ini boleh menampung seramai 1500 ke 2000 jemaah dalam satu masa.

Masjid ini terdiri daripada nazir iaitu Hj. Mohd Khirati Bin Mohamad Salleh,timbalan nazir;Mohamad Jamil Bin Mohd Rafaie,imam masjid;Azran Bin Che Mat dan M.Khairol Amin B. Ramli,bilal;Hj. Jamil B. Abu Bakar,dan siak;Ahmad Bin Sinoh.Selain itu,terdapat cabang organisasi lain di mana masjid ini terdiri daripada setausaha iaitu Hanafiah B. Saad,penolong bendahari;Hj. Adnan Bin Ahmad,bendahari;Badrul Hisham Abd Manaf,pemeriksa kira-kira;Syariff Tan dan Zairi Mat Lamin dan beberapa AJK;Hj. Anuar Mohd Noor,Hj, Razali,Khairool Fariez,Salim Mohd. Noh dan Hjh. Rosmah Binti Kasim.



                                                     Masjid Al-Ehsaniah Rawang,Selangor.






PERANAN:
Terdapat banyak peranan institusi agama dalam membentuk sebuah negara Islam yang maju seiring dengan kemajuan yang telah dibangunkan oleh negara-negara Islam pada zaman Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu.Salah satu contoh istitusi agama yang terdapat di negara kita adalah seperti masjid.
Peranan utama masjid di kampung saya yang dikenali dengan nama Masjid Al-Ehsaniah adalah sebagai tempat umat Islam beribadah. Sesuai dengan namanya masjid adalah tempat sujud, maka fungsi utamanya adalah sebagai tempat ibadah solat. Sebagaimana diketahui bahawa makna ibadah di dalam Islam adalah luas yang bersangkutan dengan hampir semua aktiviti kehidupan yang ditujukan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t, maka fungsi masjid disamping sebagai tempat solat juga sebagai tempat beribadah secara meluas sesuai dengan ajaran Islam.
Masjid juga berperanan sebagai tempat menuntut ilmu. Ia berfungsi sebagai tempat untuk belajar dan mengajar, khususnya ilmu agama yang merupakan fardhu ‘ain bagi umat Islam. Disamping itu juga ilmu-ilmu lain, baik ilmu alam, sosial, keterampilan dan sebagainya yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam turut dapat diajarkan di masjid.
Selari dengan itu masjid Al-Ehsaniah telah menyediakan satu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang menyediakan khidmat menjaga dan memberi pendidikan kepada kanak-kanak di situ. Kanak-kanak yang di hantar di situ adalah di dalam lingkungan empat hingga lima tahun.
Kanak-kanak yang di hantar di situ di beri asuhan dalam pelbagai aspek yang turut memberi pemberatan kearah keagamaan. Kanak-kanak yang di hantar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diajar dengan asas-asas ilmu fekah,tauhid,usuluddin,syariah,akhlak dan sebagainya. Mereka hanya didedahkan dengan asas-asas ilmu tersebut. Mereka juga diajar dengan doa-doa harian seperti doa makan,doa tidur,doa masuk ketandas dan sebagainya.
Disamping itu mereka juga didedahkan dengan amali tentang cara-cara bersolat dengan betul. Kanak-kanak yang di hantar ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) juga di ajar cara-cara untuk berwudhuk dengan betul. Melalui pembelajaran yang seperti itu kanak-kanak yang dihantar ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sedikit sebanyak telah terdedah dengan cara hidup muslim yang sebenar. Ia dapat memupuk jiwa kanak-kanak tersebut untuk terus mendalami ilmu agama islam.
Untuk membentuk seseorang itu agar menjadi insan yang cemerlang dari segi rohani dan jasmani,mereka haruslah dibentuk sejak dari kecil lagi seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ kerana apabila seseorang insan itu telah menginjak ke alam remaja dan seterusnya mereka sudah susah untuk kita bentuk. Proses ini haruslah bermula dari zaman kanak-kanak kerana di peringkat inilah mereka mudah menerima apa sahaja yang diajarkan kerana kanak-kanak itu telah diibaratkan seperti kain putih. Kitalah yang mencoraknya. Jika perkara buruk yang kita corakkan kepada mereka maka buruklah akhlak mereka kelak namun jika elok apa yang kita corakkan maka eloklah akhlak mereka apabila sudah menginjak dewasa.
Selain itu masjid Al-Ehsaniah juga ada menyediakan beberapa kelas agama untuk dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua ataupun muda. Kelas agama tersebut diadakan pada setiap hari Sabtu di setiap minggu. Kelas itu bermula pada pukul sebelas pagi dan ianya mengambil masa lebih kurang dua jam untuk satu sesi. Kelas agama tersebut lebih berbentuk seperti usrah dan ianya lazimnya dihadiri oleh kaum-kaum ibu dan seginlir golongan remaja yang berminat.
Kelas agama tersebut di ketuai oleh seorang ustazah yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kelas agama tersebut membingcangkan pelbagai kemusykilan yang bersarang difikiran para muslimat. Ianya merangkumi pebagai topik. Kelas agama yang lebih berbentuk seperti usrah itu juga mengadakan sesi soal jawab bersama ustazah. Antara topik-topik yang sering dibincangkan adalah topik-topik yang berkaitan dengan kaum wanita dan sebagainya.
Melalui program tersebut ianya dapat meemberi peluang kepada kaum-kaum ibu yang menghadiri kelas agama tersebut untuk menambahkan pengetahuan mereka dalam bidang agama disamping memberi peluang kepada mereka untuk bertanyakan setiap kemusykilan yang ingin mereka ketahui yang bersangkutan dengan agama Islam.
Melihat dari perspektif lain pula program itu juga sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang kaum-kaum ibu yang jika dahulu dihabiskan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti berkunjung ke rumah jiran-jiran tanpa tujuan,bersembang-sembang tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah yang lebih kepada keduniaan serta boleh mendatangkan fitnah sekaligus menambahkan dosa-dosa yang ada. Melalui program yang berbentuk seperti usrah itu, masa lapang kaum ibu di kariah saya dapat diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah yang juga boleh menambahkan pahala sebagai bekalan dalam menuju kemudian hari.
Seterusnya, masjid Al-Ehsaniah juga turut mengadakan kelas mengaji Al Quran pada setiap hari minggu. Kelas Al-Quran ini boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja tidak kira peringkat usia terutamanya golongan-golongan dewasa. Kelas Al-Quran ini diajar oleh seorang ustaz yang begitu mahir dalam mengajar Al-Quran. Kelas Al- Quran ini mengajar bagaimana membaca Al-Quran dengan cara yang betul serta tajwid yang betul. Kelas Al-Quran ini juga dimulakan pada waktu pagi sama seperti kelas agama tetapi berbeza dari segi hari kerana kelas Al-Quran ini diadakan pada setiap hari . Ianya juga memberi kepentingan yang hampir sama dengan kelas agama tersebut. Kelas Al-Quran ini juga dapat membantu memperbaiki bacaan setiap yang hadir.
Disamping itu, bagi yang telah mahir mengaji pula mereka juga boleh belajar cara untuk bertaranum. Setiap program yang diadakan adalah percuma tanpa sedikit bayaran pun. Ini juga dapat meringankan beban para kariah kerana jika ingin pergi belajar mengaji di tempat- tempat berbayar ia memakan kos yang tinngi untuk membayar yuran yang dikenakan untuk setiap bulan.
Masjid Al-Ehsaniah juga berperanan sebagai tempat penyatuan ummah. Hampir setiap satu bulan Masjid Al-Ehsaniah akan mengadakan aktiviti gotong royong membersihkan masjid. Melalui program ini ia dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam di kariah saya. Selain itu, Masjid Al-Ehsaniah juga ada mengadakan majlis berbuka puasa setiap kali bulan ramadhan. Majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kariah.




MASALAH DAN PENYELESAIAN:

"Akan datang suatu zaman keatas manusia tidak kekal dalam agama Islam kecuali namanya sahaja, dan tidak kekal di dalam al-Quran (tidak dihayati dan tidak dilaksanakan ajarannya) melainkan tinggal tulisannya sahaja, masjidnya yang besar dan indah dibangunkan di sana sini, tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya".
(Riwayat Muslim)

Ternyata apa yang diriwayatkan oleh muslim dari hadis Rasulullah SAW, adalah benar sama sekali, tatkala manusia berpusu-pusu membina masjid yang tersergam indah dan besar, namun kuantiti umat Islam masih lagi dapat dipertikaikan. Oleh itu, sebagai umat Islam yang ingin terus membangun seiiring mengejar balasan baik di akhirat, haruslah kita mengimarahkan masjid yang tersergam indah di merata-rata tempat ini. Hal ini juga berlaku di Masjid Al-Ehsaniah ini. Bagi mengatasi masalah ini, ahli jawatankuasa masjid mestilah lebih prihatin dalam mencari punca mengapa muda belia sekarang mahupun yang sudah tua, tidak hadir ke masjid bagi mengimarahkannya. Di sini, Masjid Al-Ehsaniah telah pun melakukan beberapa perancangan, seperti menganjurkan gotong-royong setiap bulan, mengadakan pertandingan tilawah, mengadakan kursus memandikan jenazah dan juga beberapa aktiviti lain yang mampu menarik muda-mudi hadir ke masjid.
Seterusnya, antara kelemahan yang dikenal pasti hari ini ialah pengurusan masjid yang kurang efisien dan juga cekap. Ia dapat dilihat bahawa, tampuk pemegang jawatankuasa masjid merupakan dari golongan tua, yang bilamana agak sukar bagi mereka menjalankan aktiviti tanpa bantuan golongan muda. Hal ini dapat diatasi dengan mencari pelapis-pelapis di peringkat lapisan golongan muda belia kampung, bagi menjamin kesejahteraan masjid. Tambahan pula, di sini, tiadanya golongan muda yang memegang jawatan seperti imam, bilal dan sebagainya. Yang ada hanyalah golongan luar, yang baharu sahaja menetap di Rawang ini,yang menggantikan imam dan bilal di lapisan golongan yang lama. Oleh itu, jawatankuasa masjid seharusnya lebih menitik beratkan hal seperti ini, dalam mencari pelapis golongan muda kerana, siapakah lagi yang selebihnya layak selain masyarakat kampung yang berpengetahuan menjadi imam mahupun bilal atau jawatankuasa masjid ini.







PENUTUP:

"Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid,maka saksikanlah yang ia adalah seorang yang beriman".
(Riwayat Imam Ahmad Wa Ibnu Majah)
Kesimpulannya, masjid banyak memberi peranan dalam meningkatkan pembangunan ummah. Oleh itu kita haruslah sentiasa berusaha untuk mengimarahkan masjid agar terus hidup kerana masjid diibaratkan seperti nadi dalam kehidupan umat Islam. Melalui solat jemaah di masjid lah kita dapat melihat kebersatuan umat Islam yang amat ditakuti oleh umat umat yang ingin memghancurkan Islam. Justeru itu, kita haruslah saling berganding bahu bergabung tenaga dalam mempertahankan kesucian institusi agama agar tidak terus diceroboh oleh para musuh- musuh yang ingin memusnahkan institusi agama Islam seperti yang sedang terjadi di Baitulmaqdis pada hari ini di mana Masjid al-Aqsa dengan sewenang-wenangnya diceroboh.

Secara tuntasnya, mengimarahkan masjid merupakan tanggungjawab bersama oleh semua umat Islam. Tidak kiralah golongan dewasa ataupun tua, masjid seharusnya diimarahkan bersama-sama supaya pengisian dan juga penghasilan terhadap umat Islam itu benar-benar sejati. membuktikan hadis di atas, umat Islam yang benar-benar beriman merupakan umat Islam yang dapat hadir ke masjid bagi beribadah kepada Allah SWT.

Sekali lagi ingin saya simpulkan sebagai penutup bahawa masjid adalah rumah Allah yang berfungsi sebagai tempat beribadah, penyebaran ilmu, berdakwah dan seterusnya. Sebagai umat Islam, saya menyeru diri saya dan umat Islam yang lain, marilah kita mengimarahkan masjid, demi melahirkan diri kita sebagai umat islam yang sejati. Yahudi akan gentar apabila kita sebagai umat Islam dapat memenuhi solat subuh dengan saf nya seperti saf solat Jumaat, mengapa tidak kita lakukannya demi umat Islam sejagat.





BIBLIOGRAFI:


1.Sumber internet:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Al-Ehsaniah_Kampung_Melayu_Batu_16,_Rawang
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEisjMqIa019Gga21EnKCjAGO7gi37mY_DtpAY-rTdFF5a3qSyIE8lpYAjK0rQJhNT6hidreXtXN2LeDzcJ6hFjIlIdbznX_gV-gJsFFmRSM3WvO4OSKXxjupvc1LAOCKWXGUSoUbVkxLjU/s1600/Carta-Organisasi4.gif
http://al-ehsaniah.blogspot.com
2.Sumber manusia
Ustaz Abdul Lim;